Tidakkah anda merasa janggal apabila setiap kali tibanya Piala Dunia, kita rakyat Malaysia pula menyokong negara-negara kuasa besar bola sepak. Termasuk juga saya. Ini sahaja yang boleh kita buat untuk bersama-sama menyertai kemeriahan acara sukan terbesar itu. Fakta, bola sepak merupakan sukan terbesar negara kita selain badminton dan hoki kerana mempunyai lipatan sejarahnya yang gemilang.
Malaysia bila pula? Rata-rata dikalangan kita tidak dapat memberi jawapan tepat bila skuad kebangsaan akan melayakkan diri seterusnya beraksi di Piala Dunia edisi yang untuk keberapa. Jika Piala Asia pun kita masih ketinggalan, jauh panggang dari api.
Saya tidak lahir dan membesar ketika zaman kegemilangan bola sepak tanah air ketika era zaman Allahyarham Mokhtar Dahari. Namun, era itu jauh sudah kita tinggalkan dan kita kini beraksi untuk bola sepak moden. Jika dahulu pemain seperti Maradona bola menggelecek bola dari bahagian tengah hingga membawa bola secara solo dan terus menjaringkan bola tersebut, kini tidak lagi. Jika ada pun, pemain hebat seperti Lionel Messi dan Christiano Ronaldo mungkin dapat mengulangi aksi-aksi tersebut.
Jadi, adakah pemain-pemain kita tidak bagus seperti mereka? Mengapa, pemain dari Jepun, Korea dan Iran boleh bermain untuk peringkat tinggi? Baru-baru ini, Korea Selatan membenam 2-0 juara Euro 2004, Greece dalam pusingan pertama Piala Dunia. Tidakkah kita sedar, pemain dari Asia sememangnya mempunyai kualiti setanding dengan yang lain.
Saya mempunyai teori saya tersendiri. Terpulang pada pembaca untuk menilai sejauh mana kebenaran teori saya.
Jika kita mahukan mutu permainan kita meningkat, saya percaya kita seharusnya bermula dari padang lagi. Padang? Persoalannya, apakah setiap padang di stadium-stadium negeri setaraf kualiti padang Eropah, Liga Jepun dan Korea atau plaing kurang pun Stadium Nasional Bukit Jalil?
Anda mungkin boleh mempersoalkan balikĀ kenyataan saya. Apa kaitan para pemain dengan padang bola sepak. Kita diperingkat liga sudah bermain dengan padang yang tidak setanding seperti di Eropah dan Jepun mahupun Korea, akibatnya pemain kita tidak boleh membuat formasi yang dikehendaki oleh para jurulatih.
Bola sepak moden memerlukan pergerakkan bola yang pantas, maka hantaran-hantan yang kemas perlu sampai ke kaki rakan pasukan. Tambah lebih teruk, apabila hujan turun, air bertakung seperti anda bermain dalam paya.
Oleh kerana pasukan dari Jepun dan Korea sudah terbiasa dengan corak pantas, maka tidak hairanlah mereka boleh berlari untuk menerima ‘through ball’ kerana pergerakan bola itu sudah ‘sync’ dengan para pemain.
Kita kini hanya mempunyai satu sahaja padang yang diiktiraf FIFA yakni Stadium Bukit Jalil. Kelab-kelab ternama Eropah mempunyai sumber kewangan untuk memulihara kualiti padang yang melibatkan pulahan juta dolar setahun. Soalannya, sanggupkan kerajaan negeri atau FAM mengeluarkan modal untuk meningkat taraf mutu padang kita? Tepuk dada tanya selera.

